KUALA LUMPUR - (1-3hb Mac 2012) Seramai 35 orang pelajar dan staf pengiring telah mengikuti satu lawatan sambil belajar pelajar tahun akhir jurusan Diploma Teknologi Makmal Perubatan (DTMP - UniSZA) yang telah diadakan di Kuala Lumpur. Terdapat 2 tempat yang dikunjungi pelajar iaitu Pusat Darah Negara (PDN) dan Hospital Serdang.

Setiba di PDN, para pelajar diberikan taklimat oleh Pegawai Pendidikan Kesihatan PDN, Pn. Yessy Octavia Misdi mengenai latar belakang dan objektif penubuhan PDN. Seterusnya para pelajar dan staf pengiring dibawa melawat ke setiap unit makmal kendalian PDN antaranya Makmal Saringan Darah, Makmal Hemostasis, Makmal Saringan Darah Korda dan sebagainya. Di akhir lawatan, beberapa pelajar dan staf pengiring menjalani sesi derma darah dan sesi lawatan diakhiri dengan penyampaian cenderahati buat warga PDN.

Lokasi seterusnya para pelajar dan staf pengiring dibawa ke Hospital Serdang yang terletak bersebelahan dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang. Para pelajar dibawa melawat ke Unit Makmal Diagnostik Hospital Serdang dan didedahkan dengan kemudahan dan kelengkapan makmal canggih hospital. Antara unit makmal yang telah dilawati ialah Makmal Histopatologi, Makmal Mikrobiologi, Makmal Biokimia dan sebagainya.

Diharapkan agar lawatan ini memberikan pendedahan yang meluas mengenai bidang kerjaya Juruteknologi Makmal Perubatan dalam persediaan menempuh dunia kerjaya kelak.

Sumber Berita & Gambar : ANUAR BIN MD. ZAIN

Cetak E-mel