21-23 Februari 2013 -  Seramai 83 orang pelajar tahun satu program Dietetik, Teknologi Makmal Perubatan, Radiografi dan Fisioterapi telah mengikuti Kem Motivasi dan Bina Sahsiah di Peladang Agro Resort, Setiu. Kem ini turut disertai oleh seramai 40 orang kakitangan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan yang terdiri daripada pensyarah dan kakitangan sokongan.

Program ini merupakan salah satu program yang dianjurkan oleh Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) di bawah Jabatan Sains Kesihatan dengan kerjasama Unit Kaunseling UniSZA. Program ini bertujuan untuk memberi motivasi dan menerapkan nilai kerohanian para pelajar Dietetik, Fisioterapi, Radiografi dan Teknologi Makmal Perubatan agar menjadi pelajar yang berjaya dunia dan akhirat serta memiliki peribadi yang unggul seterusnya menjadi contoh tauladan kepada masyarakat luar.

Para pelajar bertolak ke Agro Resort pada pukul 2 petang (Khamis) dan tiba disana pada pukul 4 petang. Program dimulai dengan pendaftaran pelajar, pengenalan tempat dan taaruf. Pada sebelah malam, sesi ‘ice-braking’ diadakan melalui beberapa bentuk permainan untuk pembahagian kumpulan. Sesi ini membolehkan pelajar berkenalan antara satu sama lain serta memupuk semangat kerjasama di dalam kumpulan yang mana setiap kumpulan diberikan tugas untuk menyediakan nama serta logo kumpulan masing-masing dan mempersembahkannya.Selain itu penghulu dan penghuluwati juga turut dilantik.

Hari kedua dimulai seawal 5.30 pagi dengan solat subuh berjemaah dan tazkirah pagi yang dikelolakan oleh kumpulan pelajar yang telah dilantik. Seterusnya acara senamrobik yang diketuai oleh pelajar Diploma Fisioterapi. Agenda diteruskan dengan slot ceramah yang dikendalikan oleh dua fasilitator iaitu Pn. Nik Zarifah binti Nik Hassan dan Pn. Husni Munirah binti Hashim dari Unit Kaunseling UniSZA. Ceramah pertama bertajuk ‘Kehidupan Mahasiswa di Kampus dan Bina Sahsiah’ . Ceramah kedua yang bertajuk ‘Pengurusan Masa, Emosi dan Konflik’ diteruskan selepas minum pagi dan berakhir pada pukul 12.30 tengahari untuk memberi ruang kepada urusetia dan pelajar lelaki menunaikan solat Jumaat. Namun yang demikian pelajar dan urusetia wanita turut solat zohor berjemaah dan diadakan kuliah wanita  yang bertajuk ‘Cara Pemakaian Mengikut Islam’ di mana ahli panel adalah dari kalangan pelajar yang telah dipilih oleh mereka sendiri.

Pada sebelah petang pula aktiviti riadah iaitu ‘Flying Fox’ dan ‘Obstacle’. Peserta di bahagikan kepada dua kumpulan dan mereka akan bertukar tempat setelah siap satu aktiviti. Aktiviti riadah ini adalah untuk membentuk keyakinan diri pelajar dan kerjasama kumpulan. Pada sebelah malamnya aktiviti diteruskan dengan solat maghrib berjemaah dan pengisian yang disampaikan oleh Dr. Mohd Shafiee bin Hamzah dari Pusat Islam UniSZA yang bertajuk ‘ Pergaulan Mengikut Syariat’. Malangnya aktiviti burung hantu tidak dapat dijalankan kerana hari hujan kerana dibimbangi membahayakan keselamatan peserta. Walaubagaimanapun ia digantikan dengan permainan ‘Lukis Peribahasa’ dan ‘Radio Buruk’.

Agenda pada hari ketiga diteruskan dengan ceramah yang bertajuk ‘Communication Skill’ dan ‘Planning for Success’ yang di sampaikan oleh penceramah luar iaituHj. Ahmad Ikram bin Abdullah. Aktiviti berakhir dengan majlis penutup dan penyampaian hadiah kepada kumpulan terbaik dan pelajar terbaik sepanjang tempoh  kem berlangsung. Semoga kem ini dapat meningkatkan lagi motivasi dan membentuk jati diri para pelajar yang terlibat.    

Disediakan Oleh :Juliana Bt. Mohd Radzi

Print Email