Brief History of Faculty Of Health Science

FSK4

SEJARAH FAKULTI SAINS KESIHATAN,
UNIVERSITI SULTAN ZAINAL ABIDIN
(2006 HINGGA 2024)

Pada peringkat awal penawaran program Sains Kesihatan, dua (2) buah program pengajian ditawarkan di peringkat prasiswazah iaitu Diploma Radiografi dan Diploma Teknologi Makmal Perubatan. Kedua-dua program ini adalah di bawah Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Darul Iman (UDM) bertempat di Kampus Kota,. Program ini mula diperkenalkan pada Julai 2006 dengan pengambilan pelajar yang pertama adalah seramai 23 orang pelajar setelah kelulusan secara bertulis diterima daripada  Kementerian Pengajian Tinggi pada 23 Mei 2006. Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Darul Iman Malaysia (UDM)  telah diperakukan kelulusan penubuhannya oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada 24 Januari 2007 melalui Mesyuarat Jawatankuasa Pendidikan Tinggi Bil 9/2006.

Setelah menerima kelulusan rasmi daripada KPT, pada tahun 2009, program ketiga FSK pula ditawarkan iaitu Ijazah Sarjana Muda Dietetik (Kepujian) dengan pengambilan pelajar seramai 28 orang pelajar.  Pada tahun 2011, bagi memenuhi keperluan Negara untuk melahirkan Jurupulih Anggota yang amat diperlukan kepada masyarakat, program Diploma Fisioterapi pula turut ditawarkan. Sehingga sesi 2016/2017 (ambilan September 2016), FSK menawarkan lagi tiga (3) buah program baharu iaitu Sarjana Muda Sains Bioperubatan dengan kepujian, Sarjana Muda Sains Pemakanan (Kepujian) & Sarjana Muda Pengimejan Perubatan (Kepujian). Pada peringkat pengajian pascasiswazah pula, pada tahun 2013, FSK menawarkan program Sarjana Sains (Kesihatan) dan Doktor Falsafah Sains (Kesihatan). Program kedua untuk Sarjana dan Doktor Falsafah yang ditawarkan oleh FSK adalah pada tahun 2018, iaitu Sarjana Sains (Sukan) dan Doktor Falsafah (Sukan).

Pada Januari 2015, berlaku penstrukturan semula fakulti dan tertubuhnya Fakulti Sains Kesihatan di Kampus Gong Badak. Ketika itu Pengurusan di FSK diterajui oleh Prof. Dr. Ab Fatah bin Ab Rahman yang memegang jawatan sebagai Dekan bermula daripada tahun 2015 sehingga 2016. Manakala, Dekan FSK yang kedua adalah Prof. Dr. Sakinah binti Harith yang memegang jawatan ini bermula Disember 2016 sehingga 2022 dan menyambung kembali tugas sebagai Dekan semula pada 1 Mei 2024 setelah tempoh Dekan yang ketiga iaitu Prof. Madya Dr. Wan Rohani binti Wan Taib telah tamat.

Buat masa ini, FSK mempunyai empat (4) buah pusat pengajian iaitu Pusat Pengajian Pemakanan & Dietetik, Pusat Pengajian Bioperubatan, Pusat Pengajian Pengimejan Perubatan dan Pusat Pengajian Sains Rehabilitasi. Sehingga tahun 2024, jumlah staf FSK adalah seramai 101 orang yang terdiri daripada 49 orang staf akademik (tetap), 9 orang staf akademik (kontrak), tiga (3) orang Penolong Pensyarah, 3 orang post doctoral dan 37 orang staf bukan akademik. Bilangan staf akademik yang telah mempunyai Ijazah Doktor Falsafah adalah seramai 49 orang dengan nilai sebanyak 80%.

Visi FSK adalah menjadi satu pusat kecemerlangan akademik melahirkan ahli kesihatan profesional yang holistik. Manakala misi FSK adalah melahirkan graduan sains kesihatan yang berperadaban dan berkemahiran selari dengan keperluan komuniti melalui kecemerlangan akademik dan penyelidikan.

Secara keseluruhan, terdapat 1846 orang telah bergraduat sebagai alumni Fakulti Sains Kesihatan sehingga tahun 2024 yang terdiri daripada graduan Sarjana Muda Dietetik (Kepujian) adalah 389 orang, graduan Sarjana Muda Sains Bioperubatan dengan Kepujian 194 orang, graduan Sarjana Muda Pengimejan Perubatan (Kepujian) 188 orang, graduan Sarjana Muda Sains Pemakanan (Kepujian) 166 orang, graduan Diploma Radiografi seramai 328 orang, graduan Diploma Teknologi Makmal Perubatan seramai 340 orang dan graduan Diploma Fisioterapi seramai 241 orang. Profesion pekerjaan untuk bidang Sains Kesihatan adalah luas kerana melibatkan masyarakat terutamanya pesakit di hospital atau klinik kesihatan. Contoh profesion yang dikeluarkan oleh FSK adalah Pegawai Dietetik, Pegawai Pemakanan, Pegawai Sains (Bioperubatan), Pegawai Pengimejan Perubatan, Jurupulih Anggota, Juruteknologi Makmal Perubatan dan Juru X-Ray.Dari segi unjuran pelajar bagi program diploma dan Sarjana Muda setiap satunya unjuran adalah 50 orang pelajar.