• Home
  • ABOUT US
  • BACKGROUND
  • News: Archived
  • Majlis Perasmian FPSK dan Pengumuman Penawaran Program Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan, UDM oleh TPM

Majlis Perasmian FPSK dan Pengumuman Penawaran Program Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan, UDM oleh TPM

KUALA TERENGGANU – Universiti Darul Iman Malaysia (UDM) cukup bertuah apabila Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Abdul Razak sudi meluangkan masa untuk merasmikan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) dan mengumumkan Penawaran Program Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan pada 9 Januari baru-baru ini.

Penubuhan fakulti perubatan itu adalah yang pertama membabitkan intitusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Pantai Timur dan turut menempa satu sejarah sebagai IPTA pertama yang menubuhkan fakulti perubatan kurang dari tiga tahun sejak mula beroperasi.

``Ini merupakan satu sejarah buat UDM kerana ini merupakan IPTA yang pertama berjaya menubuhkan fakulti perubatan sebelum cukup tiga tahun penubuhannya,’’ ujar beliau dalam ucapannya.

Timbalan Perdana Menteri juga berharap dengan adanya fakulti perubatan di UDM, ianya mampu menampung keperluan doktor perubatan dalam negara khususnya di Pantai Timur.

``Dengan adanya fakulti perubatan di sini, saya berharap masalah kekurangan doktor di negara kita akan dapat diatasi. Selain dari itu ianya dapat membuka peluang kepada anak Terengganu untuk mengikuti pengajian perubatan di negeri sendiri,’’ tambah beliau lagi.

Beliau berkata demikian pada majlis Perasmian Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) dan Pengumuman Penawaran Program Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan di UDM Kampus Kota.

Sementara itu Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM 300 juta untuk membangunkan FPSK di UDM bagi menambah bilangan doktor dan pakar perubatan yang akan berkhidmat dengan hospital kerajaan khususnya di Pantai Timur.

Kehadiran Timbalan Perdana Menteri di perkarangan UDM telah disambut oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Dato’ Mohd. Azlan Hashim, Naib Canselor UDM, Dato’ Prof. Dr. Alias Daud dan ahli Pengurusan Tertinggi Universiti.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Sri Rosmah Mansor, Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said dan beberapa pemimpin negeri.