Lawatan ke Jabatan Perubatan Nuklear , Radioterapi & Onkologi, HUSM , Kubang Kerian, Kelantan

Lawatan ke Jabatan Perubatan Nuklear , Radioterapi & Onkologi, HUSM , Kubang Kerian, Kelantan telah diadakan pada 9 April 2009. Lawatan ini memenuhi keperluan subjek kursus Kimia Klinikal II yang melibatkan 29 orang pelajar Program Diploma Teknologi Makmal Perubatan Tahun 3, diiringi oleh dua orang pensyarah iaitu Cik Rohayu Izanwati dan En. Suffian serta staf sokongan iaitu Cik suwaibah dan En. Azliyadi.

Hasil lawatan ini, pelajar diberi pendedahan kerjaya sebagai juruteknologi makmal perubatan, prosedur diagnosis ke atas pesakit yang melibatkan prosedur rawatan, penyediaan larutan iodin (bahan radionuklid) mengikut dos tertentu, kawalan mutu (Dose Calibrator) serta kaedah skan menggunakan kamera Gamma. Radionuklid adalah agen bersifat radioaktif utama untuk mengesan, mendiagnos dan merawat pelbagai penyakit. Jangka hayatnya yang pendek dan dos yang kecil akan memberikan radiasi yang minima dan tidak akan membahayakan pesakit.

Proses skan yang dilakukan memakan masa selama 30 hingga 45 minit. Bahan radionuklid akan disuntik atau diminum kepada pesakit dan akan distribusi ke organ yang tertentu. Aktiviti radioaktif lebih tinggi pada bahagian organ yang abnormal di mana sinar gamma yang dipancarkan akan dikesan oleh kamera Gamma untuk menghasilkan imej dan dapat memberikan maklumat yang lengkap dan tepat mengenai sel, tisu dan organ. Maklumat yang diperolehi membolehkan doktor membuat pendiagnosan yang cepat dan tepat terhadap berbagai keadaan penyakit seperti gangguan tiroid, keretakan tulang, penyakit jantung dan kanser.

Pesakit yang melakukan pengimejan diagnosis biasanya akan berada beberapa jam di Jabatan Perubatan Nuklear. Ini bukanlah disebabkan risiko terhadap kesihatan tetapi doktor hendak memastikan bahan-bahan Radioaktif seperti Iodine- 131(1-131) dikendalikan dengan selamat apabila dikumuhkan dari badan.