Penawaran Pogram Diploma Fisioterapi UDM

Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UDM akan menawarkan program baru iaitu Diploma Fisioterapi bermula pada sesi Julai 2010/2011.

Pengenalan Fisioterapi

Fisioterapi adalah bidang pengajian yang luas, menitik beratkan kaedah sistematik untuk menstabil dan memulih gangguan fungsi badan terutamanya pada sistem tulang, otot dan sendi, sistem jantung dan pengaliran darah, sistem pernafasan serta sistem saraf.

Program tiga tahun ini memfokus kepada asas saintifik dan analitikal serta kemahiran amali bagi membekalkan pelajar dengan kemahiran menghadapi cabaran dalam bidang perubatan. Pelajar akan diajar kemahiran asas dalam terapi manual, terapi senaman serta penggunaan modaliti elektroterapi yang cekap dan efisien.

Bidang kerjaya

Memandangkan nisbah ahli fisioterapi bagi penduduk di Malaysia adalah 1 : 65, 647 (statistik daripada UN dan World Confederation of Physiotherapy, 1998), graduan fisioterapi dijangka tidak akan menghadapi masalah untuk mendapatkan pekerjaan.

Antara organisasi yang memerlukan kepakaran ahli fisioterapi adalah hospital kerajaan, hospital swasta, klinik swasta, pusat jagaan orang tua, pusat kanak-kanak istimewa, pusat jagaan pesakit strok, majlis sukan, hospital pakar dan sebagainya.

Skop kerjaya

Ahli Fisioterapi atau Jurupulih Angota  merupakan satu profesion rehabilitasi dalam bidang perubatan yang memfokus kepada memelihara, memulih dan meningkatkan fungsi fizikal individu. Ahli Fisioterapi berperanan dalam membantu pesakit mencapai kualiti hidup yang optimum.

Biasanya, ahli fisioterapi akan berhadapan dengan pesakit yang akan atau telah menjalani pembedahan akibat patah tulang, pesakit yang mempunyai masalah peparu, strok, lumpuh, kecederaan akibat sukan, sindrom down dan sebaginya. Rawatan adalah melibatkan teknik senaman, teknik manual serta rawatan dengan menggunakan alat elektrofizikal.

Syarat-syarat Kemasukan Ke Diploma Fisioterapi UDM:

Kelayakan minimum bagi kemasukan ke program ini adalah seperti berikut :

1. Calon-calon mesti lulus peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)
dengan memperolehi:

-   Kepujian dalam Bahasa Melayu (termasuk ujian lisan) SERTA
-   Kepujian dalam Bahasa Inggeris, Matematik dan mata pelajaran Sains
     (keutamaan mata pelajaran Kimia dan Biologi)

2. Calon mestilah sekurang-kurangnya berumur 18 tahun, tetapi tidak
melebihi 30 tahun pada tarikh pendaftaran kursus.

3. Bujang atau berkahwin.

4. Tahap kesihatan yang memuaskan - sihat fizikal dan mental.