Di Losong Terengganu (Siri Makrifat Insan) berlangsung meriah

KUALA TERENGGANU, 26 Oktober 2009 - Program Di Losong Terengganu (DLT) siri Makrifat Insan yang dijadualkan hari Isnin bermula jam 10:00 pagi hingga 12:00 tengah hari mendapat sambutan baik di kalangan pelajar-pelajar sekolah sasaran.

Program DLT anjuran Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Darul Iman Malaysia (UDM) ini merupakan program bersiri selama dua tahun yang mensasarkan pelajar-pelajar tingkatan satu dan tiga SMKA Sheikh Abdul Malek sebagai pelajar angkat.

Program DLT siri Makrifat Insan yang bertujuan membantu meningkatkan kecemerlangan pelajar daripada sudut akademik dan sahsiah ini dimulakan dengan ucaptama dan sesi ’ice breaking’ yang dikendalikan oleh Wakil Dekan, Puan Samhani Ismail, disusuli dengan Ujian Penilaian dan Ceramah Motivasi yang disampaikan oleh Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Profesor Dr Ahmad Zubaidi bin A. Latiff.

Dekan FPSK,  Profesor Dr Ahmad Zubaidi bin Abdul Latiff ketika berucap berkata, "Kami sungguh bertuah mendapat sekolah Sekolah Menengah Kebangsaaan Agama Sheikh Abdul Malek sebagai sekolah angkat. Insya Allah kita akan bersama-sama dengan pihak sekolah mengatur aktiviti untuk membantu meningkatkan kecemelangan berfikir pelajar dan juga kecemerlangan sahsiah."

Beliau yang ditemui selepas majlis tersebut turut berkata, program ini adalah program berkala yang berlanjutan selama dua tahun.

Hadir di program tersebut, pensyarah-pensyarah, tutor, pegawai sains, pembantu makmal serta wakil guru yang turut memeriahkan majlis. Majlis ditangguhkan dengan jamuan ringkas di kantin sekolah.

Berita : Samhani