SEJARAH SEDEKAD FAKULTI SAINS KESIHATAN,
UNIVERSITI SULTAN ZAINAL ABIDIN
(2006 HINGGA 2016)

Pada tahun 2006, terdapat dua (2) penawaran program yang terlibat iaitu Diploma Radiografi dan Diploma Teknologi Makmal Perubatan di bawah Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Darul Iman (UDM) di Kampus Kota. Program ini mula diperkenalkan pada Julai 2006 dengan pengambilan pelajar yang pertama adalah seramai 23 orang pelajar setelah diberi kelulusan secara bertulis oleh Kementerian Pengajian Tinggi pada 23 Mei 2006. Manakala, Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Darul Iman Malaysia (UDM) telah diperakukan kelulusan penubuhannya oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada 24 Januari 2007 dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pendidikan Tinggi Bil 9/2006.

Setelah itu, program Ijazah Sarjanamuda Dietetik (Kepujian) telah ditawarkan pada tahun 2009 dengan pengambilan pelajar seramai 28 orang. Pada tahun 2011, program Diploma Fisioterapi telah turut ditawarkan untuk memenuhi keperluan Negara untuk melahirkan Jurupulih Anggota yang amat diperlukan kepada masyarakat. Sehingga sesi 2016/2017 (ambilan September 2016), terdapat tiga (3) program baharu yang ditawarkan di Fakulti Sains Kesihatan iaitu ISM Sains Bioperubatan (Kepujian), ISM Sains Pemakanan (Kepujian) & ISM Pengimejan Perubatan (Kepujian).

Pada Januari 2015, berlaku penstrukturan semula fakulti dan tertubuhnya Fakulti Sains Kesihatan di Kampus Gong Badak. Kini, FSK mempunyai empat (4) buah pusat pengajian iaitu Pusat Pengajian Pemakanan & Dietetik, Pusat Pengajian Bioperubatan, Pusat Pengajian Pengimejan Perubatan (Kepujian) dan Pusat Pengajian Sains Rehabilitasi. Bilangan staf terkini di FSK adalah seramai 99 orang. Hal ini merangkumi staf akademik yang aktif seramai 44 orang, staf bukan akademik seramai 41 orang, staf cuti belajar seramai 13 orang dan staf yang bercuti tanpa gaji seorang. Bilangan staf akademik yang telah mempunyai Ijazah Doktor Falsafah adalah seramai 24 orang dengan nilai sebanyak 54.5%.

Pengurusan di FSK adalah diterajui oleh Dekan. Dekan FSK yang pertama adalah Prof. Dr. Ab Fatah bin Ab Rahman yang memegang jawatan daripada tahun 2015 hingga 2016. Manakala, Dekan FSK yang kedua adalah Prof. Dr. Sakinah binti Harith yang sedang memegang jawatan ini bermula tahun 2017 sehingga sekarang.

Visi FSK adalah menjadi satu pusat kecemerlangan akademik melahirkan ahli kesihatan profesional yang holistik. Manakala misi FSK adalah melahirkan graduan sains kesihatan yang berperadaban dan berkemahiran selari dengan keperluan komuniti melalui kecemerlangan akademik dan penyelidikan.

Graduan yang telah dikeluarkan oleh FSK adalah seramai 129 orang yang merupakan graduan Ijazah Sarjanamuda Dietetik (Kepujian) bermula dari tahun 2013. Manakala graduan Diploma Radiografi seramai 164 orang, Diploma Teknologi Makmal Perubatan seramai 173 orang dan Diploma Fisioterapi seramai 80 orang. Secara keseluruhan, terdapat 546 orang telah bergraduat sebagai alumni Fakulti Sains Kesihatan sehingga tahun 2017. Profesion pekerjaan untuk bidang Sains Kesihatan adalah melibatkan masyarakat terutamanya pesakit di hospital atau klinik kesihatan. Contoh profesion yang dikeluarkan oleh FSK adalah Pegawai Dietetik, Pegawai Pemakanan, Pegawai Sains (Bioperubatan), Pegawai Pengimejan Perubatan, Jurupulih Anggota, Juruteknologi Makmal Perubatan dan Juru X-Ray.

Print Email