Laporan Persidangan Saintifik Persatuan Mikroskopi Elektron Malaysia Ke-18

Pada 15 hingga 17 Disember 2009 yang lalu, Persidangan Saintifik Persatuan Mikroskopi Elektron ke-18 dan Mesyuarat Agung Tahunan ke-19 telah dilangsungkan di Palace of the Golden Horses, Mines, Sri Kembangan. Persidangan kali ini telah dianjurkan dengan jayanya oleh Persatuan Mikroskopi Elektron Malaysia (EMSM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Persidangan kali ini membawakan tema”Magnification, Visualising and Discoveries Through The Future” yang bertepatan dengan kepentingan mikroskopi dalam bidang perubatan, sains dan teknologi. Di samping itu mikroskopi elektron juga merupakan wadah kepada kecemerlangan penyelidikan dalam bidang biologi, perubatan, sains forensik, kawalan kualiti sains bahan, kejuruteraan dan indusri teknologi nano di negara kita.

Dalam persidangan kali ini, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UDM telah menghantar tiga orang wakil iaitu Encik Ng Yean Kai, Cik Norhidayah Binti Badya dan Encik Mohamad Fazari Bin Ghazali.

Hampir 20 sidang plenari yang dibentangkan oleh penceramah jemputan dari dalam dan luar negara disamping pembentangan lisan, persembahan poster dan pameran mikrograf telah membuktikan bahawa mikroskopi elektron sememangnya mempunyai peranan yang sangat besar dalam pelbagai skop penyelidikan termasuk sains biologi dan sains bahan.

Di samping pembentangan ilmiah yang menjadi aturcara utama persidangan, pihak penaja iaitu syarikat-syarikat pengedar barangan mikroskopi dan alat-alat penyediaan spesimen mikroskopi juga turut mengambil bahagian mempromosi produk-produk terbaru keluaran syarikat masing-masing. Khidmat nasihat juga diberikan kepada peserta-peserta persidangan yang mempunyai sebarang kesulitan dalam menjalankan kajian masing-masing.