LAPORAN LAWATAN PROFESOR PELAWAT PROGRAM DIETETIK

6-7 Mei 2010-  Seramai 13 orang pelajar tahun akhir Diploma teknologi Makmal Perubatan (DTMP), Universiti Darul Iman Malaysia telah mengikuti satu lawatan sambil belajar ke Institut Penyelidikan Perubatan, Kolej Teknologi Makmal Perubatan, Pusat Darah Negara dan Gribbles Pathology Sdn. Bhd. Lawatan ini juga di sertai oleh 9 orang kakitangan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan yang terdiri daripada pensyarah DTMP, pegawai sains, juruteknologi makmal perubatan dan juga pembantu makmal.

Tujuan utama lawatan ini diadakan adalah untuk memberi pendedahan awal kepada para pelajar mengenai alam pekerjaan memandangkan mereka akan tamat pengajian tidak lama lagi. Selain itu, melalui lawatan ini diharap dapat menambahkan  ilmu serta kemahiran para pelajar dan juga kakitangan FPSK mengenai aktiviti pengurusan makmal dan pemprosesan sampel terutamanya yang berkaitan dengan peralatan dan prosedur berteknologi tinggi.

Lawatan hari pertama dimulakan dengan lawatan sekitar Institut Penyelidikan Perubatan (IMR). Rombongan  dari UDM diberi taklimat ringkas oleh Dr. Latifah mengenai sejarah, latar belakang serta skop-skop penyelidikan yang dijalankan di IMR. Kemudian para pelawat dibawa ke muzium IMR. Lawatan diteruskan ke Unit Penyelidikan Penyakit Menular (Bahagian Entomologi) dan Unit Penyelidikan Perubatan Herba. Rombongan diberi penerangan dan dibawa melawat sekitar unit-unit yang berkenaan. Lawatan disambung ke Kolej Teknologi Makmal Perubatan pada sesi petang dimana rombongan diberi taklimat mengenai fungsi dan peranan kolej dalam melahirkan juruteknologi makmal perubatan yang berkemahiran serta berkualiti. Ahli rombongan juga dibawa melawat sekitar kolej seperti di makmal-makmal dan perpustakaan.

Pada hari kedua, lawatan diteruskan ke Pusat Darah Negara. Rombongan disambut oleh Puan Yessy Octavia Misdi dan diberi taklimat tentang aktiviti harian yang berlaku di PDN. Seterusnya rombongan dibawa melawat ke semua unit di PDN. Di sini, para pelajar mendapat peluang melihat sendiri tugas sebenar seorang JTMP di PDN. Selain itu, ahli rombongan juga berpeluang melihat proses pendermaan, pemprosesan serta penyimpanan darah yang dijalankan di PDN. Pada akhir lawatan, ahli rombongan berpeluang untuk menderma darah.  Sesi lawatan sebelah petang diteruskan ke makmal swasta iaitu Gribbles Pathology Sdn. Bhd. yang terletak di Petaling Jaya. Rombongan disambut oleh Mr. Martin yang member taklimat ringkas mengenai sejarah , latar belakang dan aktiviti yang dijalankan di Gribbles Pathology. Seterusnya rombongan di bawa melawat ke makmal Gribbles. Sebagai sebuah makmal swasta yang berfungsi atas dasar perniagaan, makmal Gribbles menggunakan peralatan-peralatan yang canggih dan   berteknologi tinggi di mana amat membantu dalam memudahkan kerja-kerja makmal. Lawatan hari kedua berakhir selepas tamat waktu lawatan ke Gribbles Pathology Sdn. Bhd.

Ahli rombongan amat berpuas hati dengan segala maklumat dan pengalaman yang diperolehi daripada lawatan ini. Adalah menjadi harapan agar lawatan seperti ini dapat diadakan lagi bagi memberi peluang kepada semua pelajar menimba ilmu serta pengalaman dan membuka mata pelajar mengenai dunia kerjaya mereka apabila tamat pengajian kelak. – Nor Farhanah Bt Mohd Yusof.