Program Lawatan Sambil Belajar Pelajar Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan

6 Mei 2010- Suatu program lawatan sambil belajar anjuran kakitangan dan pelajar Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan, UDM dengan jayanya telah berlangsung di Pusat Jagaan Harian Warga Tua Daerah Besut pada tarikh tersebut. Program ini telah melibatkan 30 orang pelajar program perubatan dan pembedahan, 5 orang staf program perubatan yang terdiri daripada Dr Salwani, Puan Imilia, Cik Holifa Shaheera, Encik Fadhlinoor, Encik Faizzul dan Encik Nasir. Program ini telah dijayakan dengan penyertaan oleh 30 orang warga tua dari pusat tersebut. Taklimat ringkas mengenai program telah diberikan oleh Encik Fadhlinoor sebagai Pegawai Pembanguan Masyarakat, Program Perubatan kepada para pelajar dan warga tua yang hadir.

Tujuan program adalah memberikan pendedahan awal kepada pelajar geriatrik dan kaunseling individu. Selain itu juga, program ini merupakan suatu platform kepada pelajar untuk mengaplikasikan kemahiran komunikasi, sifat empati dan etika yang mulia dalam diri setiap pelajar. Seterusnya diharap dapat meningkatkan pelajar berdepan dengan pesakit yang bermacam ragam khususnya dalam meningkatkan perkhidmatan yang berkualiti khususnya pesakit yang bergelar warga tua.

Dalam program ini, pelajar berkesempatan untuk mempersembahkan beberapa persembahan yang mengamit hati peserta warga tua antaranya Persembahan Nasyid, Persembahan Koir dan Cabutan bertuah di pusat tersebut.

Selepas selesai acara persembahan, Sesi Ramah Mesra bersama Warga Emas berkonsepkan kaunseling individu telah dilakukan. Sesi ini, setiap pelajar mempraktikkan ilmu kaunseling yang telah dipelajari dalam sesi kaunseling yang dikendalikan. Ketika sesi kaunseling berjalan peserta iaitu warga tua dilihat sangat selesa dan gembira dengan sesi tersebut.

Setelah selesai sesi kaunseling tersebut, suatu ujian saringan psikologi telah dilakukan menggunakan borang soal selidik. Setiap borang tersebut diedarkan di bawah seliaan staf dan taklimat ringkas telah diberikan oleh Cik Holifa Shaheera mengenai cara pengendalian borang soal selidik tersebut.

Selepas selesai ujian saringan psikologi tersebut maka berakhirlah program tersebut dengan jayanya. Keseluruhannya, program ini telah mencapai semua objektif yang telah ditetapkan dan diharap program sedemikian dapat diadakan lagi di masa hadapan.