Latihan Komuniti Program Dietetik

Pada 16 Januari hingga 16 Februari 2012,  pelajar-pelajar Tahun 3 Ijazah Sarjana Muda Dietetik (Kepujian) telah menjalani  latihan industri (komuniti) bagi memenuhi kredit mata pelajaran mereka. Latihan industri (komuniti) ini telah diadakan di 7 buah institusi iaitu Pusat Rawatan Dialisis Buah Pinggang Kuala Terengganu (NKF),  Taman Sinar Harapan, Pusat Pemulihan dalam Komuniti (PDK) Kuala Ibai, Pusat Pemulihan dalam Komuniti (PDK) Batu Burok, Pusat Pemulihan dalam Komuniti (PDK) Seberang Takir,  Pusat Pemulihan dalam Komuniti (PDK) Manir dan Pusat Pemulihan dalam Komuniti (PDK) Batu Rakit.

Sepanjang menjalani latihan industry (komuniti) ini, mereka banyak mempelajari perhubungan dengan golongan kurang upaya (OKU) dan mereka juga cuba untuk berkongsi ilmu tentang pemaknan serta diet yang sihat di kalangan penghuni-penghuni institusi ini dan terutama sekali dengan ibu bapa serta penjaga mereka.

Bersempena dengan latihan industri (komuniti) ini, 7 program komuniti telah mereka adakan di institusi masing-masing, iaitu di Pusat Rawatan Dialisis Buah Pinggang Kuala Terengganu (NKF) telah diadakan program Program Pemakanan Sihat: ‘Sayangi Buah Pinggang Anda’ pada 11 Februari 2012, Program ‘Sehari Dan Sehati Bersama Insan Istimewa PDK Batu Burok’ di Dewan Sivik Pasir Panjang pada 9 Februari 2012, Program ‘Sihat Sokmo’ Bersama Komuniti Batu Rakit di PDK Batu Rakit pada 11 Februari 2012, Program Cakna Sihat Sehari Bersama Komuniti Kuala Ibai di PDK Kuala Ibai pada 9 Februari 2012, Program Hari Kesedaran Diet Seimbang (HaKeDis) di PDK Manir pada 9 Februari 2012, Program Titian Kasih Insan Istimewa di Dewan Sivik Seberang Takir pada 16 Februari 2012 dan Program Ole-Ole Riang Bernutrisi (OREN) di Taman Sinar Harapan pada 11 Februari 2012.

Secara keseluruhannya, program-program yang telah mereka jalankan ini mendapat respon yang sangat-sangat menggalakkan daripada komuniti setempat am nya, dan khususnya daripada pelatih-pelatih serta ibu bapa pelatih-pelatih tersebut dan diharapkan kesedaran tentang pemakanan yang sihat ini dapat diterapkan dan diaplikasikan dalam kehidupan seharian mereka kelak.