• Home
  • ABOUT US
  • BACKGROUND
  • News: Archived
  • LAWATAN AKADEMIK KE HOSPITAL AMPANG, MAJLIS SUKAN NEGARA, INSTITUT SUKAN NEGARA DAN UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA

LAWATAN AKADEMIK KE HOSPITAL AMPANG, MAJLIS SUKAN NEGARA, INSTITUT SUKAN NEGARA DAN UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA

Pada 11 hingga 13 April 2012 yang lalu, satu program Lawatan Akademik Dietetik ke beberapa institusi telah berlangsung dengan jayanya dan melibatkan seramai 54 orang pelajar Ijazah Sarjana Muda Dietetik dengan Kepujian serta diiringi oleh 6 orang pensyarah dan pegawai dietetik.

 Antara institusi yang telah dikunjungi adalah Jabatan Dietetik dan Sajian, Hospital Ampang, Unit Perkhidmatan Makanan Majlis Sukan Negara, Pusat Pemakanan Sukan Institut Sukan Negara Malaysia dan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia. Program lawatan akademik ini dijalankan sebagai suatu keperluan pengajaran subjek Pengurusan Perkhidmatan Makanan HFS4333 dan Penilaian Status Pemakanan HFS3273.

Lawatan ini telah memberi pendedahan kepada pelajar mengenai pengurusan perkhidmatan makanan di institusi berdasarkan model di salah sebuah hospital terbaik di Malaysia dan dibandingkan dengan perkhidmatan makanan untuk kumpulan khusus seperti atlet sukan. Peluang melawat kemudahan saintifik di Pusat Pemakanan Sukan Institut Sukan Negara yang semakin berkembang juga jelas menunjukkan peranan sains dalam sukan di Malaysia. Pelajar juga telah didedahkan kepada komponen pemakanan sukan serta fungsi dietitian dalam bidang pemakanan sukan semasa lawatan.

Lawatan ke Universiti Putra Malaysia pula telah berjaya meningkatkan motivasi pelajar untuk berusaha lebih gigih di tempat sendiri yang mempunyai pelbagai cabaran dari segi ruang dan kemudahan akademik. Secara umumnya, lawatan akademik seumpama ini perlu diteruskan bagi pengajaran dan pembelajaran yang interaktif dari bilik kuliah ke kawasan lapangan untuk aksi sebenar.

Langkah ini juga merupakan usaha menambah nilai pelajar Dietetik Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, UniSZA bagi meningkatkan kebolehpasaran pelajar.