PROGRAM KESUKARELAWAN PELAJAR PROGRAM DIETETIK MENCERIAKAN TAMAN SINAR HARAPAN

Aktiviti kesukarelawan menceriakan Taman Sinar Harapan ini merupakan salah satu program kebajikan di kelolakan oleh Program Dietetik UniSZA sesi 2011/2012. Program ini dijayakan dengan kerjasama erat oleh Taman Sinar Harapan dan disokong oleh penasihat pelajar (mentor) dietetik.

Program ini diadakan pada 19 Mei 2012 bersamaan dengan hari Sabtu bermula dari jam 9.00 pagi hingga 3.00 petang. Seramai 53 orang pelajar Ijazah Sarjana Muda Dietetik tahun 1 dan 2 Universiti Sultan Zainal Abidin beserta dua orang pensyarah pengiring yang merupakan mentor pelajar dietetik iaitu Encik Mohd Adzim Khalili bin Rohin dan Puan Norhayati binti Abd Hadi telah turut serta bagi menjayakan program ini. Program satu hari ini bertujuan untuk menceriakan Taman Sinar Harapan. Blok yang terlibat dalam kerja amal ini ialah blok kanak-kanak lelaki dan perempuan. Para peserta diberikan kebebasan dalam melakar lukisan mural mengikut kreativiti masing-masing.

Objektif utama program ini adalah memupuk nilai-nilai insaniah dalam diri para peserta. Program ini juga memfokuskan tentang peranan generasi muda khususnya golongan terpelajar dalam kehidupan bermasyarakat yang saling tolong-menolong. Antara pencapaian positif program ini ialah memberi pendedahan kepada pelajar dietetik tahun 1 dan 2 mengenai  kepentingan hidup bermasyarakat yang saling tolong-menolong, menjalin kerjasama antara UniSZA dan Taman Sinar Harapan, merapatkan jurang antara mahasiswa dengan masyarakat, membentuk kemahiran insaniah dalam diri mahasiswa/i dietetik dan membentuk budaya kerja    dan hubungan yang positif sesama mahasiswa/i dietetik.

Para peserta program memberikan kerjasama yang amat baik. Antara maklum balas peserta mengenai program ini adalah program ini bagus kerana dapat mengeratkan mahasiswa dengan masyarakat yang memerlukan dan membentuk mahasiswa prihatin. program ini dapat mengisi masa lapang dengan aktiviti yang berfaedah dan program ini dapat membantu menceriakan Taman Sinar Harapan dan mahasiswa dapat berbakti kepada masyarakat.

Taman Sinar Harapan mengucapkan ribuan terima kasih atas keprihatinan mahasiswa UniSZA yang sanggup menghulurkan bantuan dalam menceriakan Taman Sinar Harapan. Pihak Taman Sinar Harapan juga berharap agar kerjasama ini akan berlanjutan. Secara keseluruhannya, program ini memberikan impak positif kepada mahasiswa dan masyarakat.