Program Kesihatan Komuniti Bersama Komuniti Daerah Besut

21 dan 22 Disember 2012 (Jumaat dan Sabtu)- Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) telah menganjurkan Program Kesihatan Komuniti dengan jayanya untuk penduduk-penduduk Kuala Besut di Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Besut, Besut.

Program tersebut telah dirasmikan dengan jayanya oleh Adun Kuala Besut  Yang Berhormat Dr. Haji A. Rahman bin Mokhtar. Objektif program ini bertujuan untuk menyaring tahap kesihatan penduduk bagi membolehkan keperluan mereka diteliti dan mengenalpasti masalah kesihatan yang berlaku serta memberikan perkhidmatan pemeriksaan kepada masyarakat Kuala Besut. Program ini melibatkan Yang Berbahagia Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, UniSZA iaitu Dato’  Prof. Dr. Ahmad Zubaidi bin Abdul Latif, para profesor pakar daripada Majlis Profesor Negara, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), JKKK Kuala Besut, staf Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, dan para pelajar Program Ijazah Sarjana Muda Dietetik dan Program Diploma Kejururawatan.

Program ini menjalankan pemeriksaan kesihatan dari rumah ke rumah, dan 40 buah rumah telah terpilih untuk diberikan pemeriksaan kesihatan secara percuma. Selain itu, pemeriksaan kesihatan wanita seperti pap smear dan pemeriksaan payudara turut diadakan di samping pameran kesihatan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan JKNT. Secara keseluruhannya, program yang telah dijalankan berjaya mencapai objektif yang telah ditetapkan dan berharap program sebegini bakal dilaksanakan lagi kelak agar lebih ramai penduduk luar bandar dapat dibantu. Selain itu, diharap agar lebih ramai staf dan pelajar dilibatkan dalam program seperti ini bagi meluaskan lagi jaringan perkhidmatan dan kepakaran untuk program yang akan datang.