YPKT, UniSZA jalani kajian pemakanan atlet sukan angkat berat

UALA TERENGGANU, 27 Dis (Bernama) -- Kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) menandatangani perjanjian kerjasama dengan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bagi menjalankan kajian pemakanan terhadap atlet sukan angkat berat Terengganu.

Naib Canselor UniSZA, Prof Datuk Dr Ahmad Zubaidi Abdul Latif berkata perjanjian itu bagi tempoh dua tahun bermula Disember tahun ini sehingga 2020 dengan kos permulaan RM60,000 bagi membangunkan produk makanan atlet iaitu 'Energy Bar' yang akan diambil sebagai makanan tambahan.

Beliau berkata melalui perjanjian itu, seramai 40 atlet angkat berat Terengganu (kumpulan sasar) yang akan bertanding di Sukan Malaysia (Sukma) Johor pada 2020 akan diberikan formulasi tersebut bagi mengawal berat badan dan meningkatkan stamina sehingga ke peringkat maksimum.

"Aspek pemakanan adalah faktor penting yang menentukan kecemerlangan atlet dan perlu dititik berat bagi memastikan atlet dapat mencapai tahap prestasi tertinggi.

"Di UniSZA kami mempunyai kepakaran dalam bidang sains kesihatan dan pemakanan yang dapat membantu atlet memperbaiki dan mengatur sistem pemakanan dengan lebih baik melalui pengambilan Energy Bar," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Meraikan Atlet Angkat Berat Sukma Perak Ke-19 dan Perjanjian Kerjasama Kajian Pemakanan Sukan Angkat Berat Terengganu, di sini malam tadi.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah dan Pengarah YPKT, Mohd Shafaruddin Mustaffa.

Ahmad Zubaidi berkata seramai 10 penyelidik daripada pelbagai bidang termasuk diabetik, fisioterapi dan bio perubatan bertanggungjawab menghasilkan formulasi Energy Bar yang telah pun siap dan akan mula diagih kepada atlet pada Januari depan.

Beliau berkata selepas agihan, penyelidik akan mendapatkan maklum balas daripada atlet mengenai rasa, kuantiti dan tahap kekenyangan selepas pengambilan produk tersebut dan akan diteruskan ke fasa kedua bagi kajian lebih terperinci seperti pengambilan sampel darah untuk ujian dan sebagainya.

"Selepas tempoh tiga bulan pertama fasa pertama yang bermula Januari, kami akan pergi ke fasa kedua iaitu selepas bulan puasa bagi melihat kesan Energy Bar itu.

"Pada fasa kedua inilah kami akan membuat penilaian mengenai kesan jangka panjang produk tersebut kepada prestasi atlet dengan melihat kepada proses sistesis protein dalam badan," katanya.

Selain itu, beliau berkata oleh kerana kajian berkenaan melibatkan kepakaran dalam bidang perubatan dan farmasi, ia juga dapat mengelak masalah kehadiran bahan terlarang dalam makanan tambahan yang membawa kepada isu doping dalam kalangan atlet.

Sementara itu, Wan Sukairi berkata kajian tersebut diharap dapat meningkatkan prestasi atlet sukan angkat berat yang ketika ini menduduki tempat ke-11 dalam senarai acara sukan penyumbang pingat Sukma Terengganu.

Beliau berkata dengan pemantauan sistematik dan berkesan dari UniSZA serta jurulatih, pihaknya yakin prestasi atlet dapat ditingkatkan sekali gus mencapai sasaran lima pingat emas, enam perak dan tujuh gangsa dalam sukan angkat berat pada Sukma 2020 di Johor nanti.

"Pada Sukma 2018, Terengganu memperoleh dua pingat emas, tiga pingat perak dan tujuh gangsa selepas satu pingat emas, satu perak dan satu gangsa ditarik balik disebabkan isu doping.

"Namun kami amat berbangga kerana atlet Muhammad Darul Najmi Dollah berjaya mencipta rekod baharu dalam acara 69 kilogram Clean and Jerk lelaki dengan bebanan 164 kilogram pada kejohanan tersebut sekali gus memadamkan rekod lama yang dicipta saudara Hafifi Mansor iaitu 163 kilogram," katanya.

ypkt

 ypkt2  ypkt3 ypkt4